Monday 30 March 2015

Dunia atau Akhirat

Tanya sama hati apa sebab hitam,
Nanti jawab hati dosa jadi dalang,
Tanya sama diri apa sebab kelam,
Nanti jawab diri cahaya makin hilang,

Kehidupan. Semua kita ada kehidupan. Betul? Tapi apakah yabg kita cari sebenarnya? Duniawi? Akhirat? Tak perlu kita nak jawab akhirat sebab memang ternyata duniawi yang kita kejar. Mungkin memang ada akhirat dikejar tapi amat sikit kuantitinya. Kenapa duniawi kita kejar? Lambat laun tanah juga kita akan pergi. Ini persoalan yang sering hadir dalam hidup aku. Aku ingat akhirat itu kekal selamanya, tapi dunia seolah-olah memanggil aku dan akhirat aku tinggalkan. Memang itu akan terjadi dalam kehidupan kita. Aku bagi satu analogi yang senang. Akhirat tidak akan panggil kita, dunia pula akan sentiasa mencari kita. Bila kita menyahut seruan dunia, akhirat tidak akan berganjak kerana dia tahu lambat-laun kita akan pergi ke arahnya. Mengapa perlu dia bersusah-payah memanggil seperti dunia memanggil kita? Tetapi, apabila kita pergi ke arah akhirat walaupun dia tidak memanggil kita, dia akan suka dan akan menerima kita. Bahkan dunia akan ikut sekali kerana dunia memang perlukan kita. Itu satu jalan yang ingin aku sampaikan. Aku tahu, tapi aku tidak pernah amalkan. Entahlah.

-Ajiq Joja-

Sunday 29 March 2015

Kisah Anak Saudagar Kueh

Paginya bangun pukul 4.00 tika ayam masih belum berkokok. Suasana gelap sejuk masih menjadi selimut pada mereka dibuai mimpi. Tidak pada dia, anak si penjual kuih. Tanpa dia, pasti pegawai di pejabat mencari kuih untuk dijadikan sarapan. Tanpa dia, pasti cikgu di sekolah mengalami kesukaran mengajar tanpa mengunyah karipap pusing di pagi hari. Tanpa dia juga, pasti orang tuanya tidak cukup tangan untuk menyiapkan berbekas-bekas kuih yang pelbagai jenis.

Pukul 4.00 pagi, dengan mata yang masih tersimpan benda asing berwarna hijau, dia kuatkan semangat pada usia semuda 10 tahun membantu ibu abahnya di dapur, menguli tepung, mencanai doh, menyusun kuih. Siap kukusan kuih, tugas seterusnya menanti. Menggunakan basikal bakul yang kriuk-kriuk bunyi rantai, dia menghantar ke seluruh pelusuk kampung di mana adanya insan yang sudi membuka gerai bagi menjual kuih-muih bermacam ragam demi menjadi sarapan orang lain. Bukan dia sahaja yang menghantar, ramai juga orang kampung yang lain menjadikan itu satu rutin. Usai menghantar, bersiap siagalah menuju ke dunia lazim di sekolah dengan berbekalkan nasi goreng gorengan mak. Kalau ada rezeki lebih, dapatlah dia membeli minuman 'straw' di kantin sekolah.

Tengah hari pula, dia akan terus pulang ke rumah. Ada tugasan lain menanti penuh sedia. Sampai di rumah, tudung saji dulu yang harus dibuka sebelum pakaian dilepaskan. Perut harus diisi walaupun nasi goreng cukup mengenyangkan. Setelah perut dilayan seperti raja, dia menuju mencari mak untuk menerima perintah tugasan seterusnya. Mungkin menjaga adik kesayangannya. Mungkin ke kedai membeli bahan kuih. Mungkin menjaga rumah semasa ketiadaan mak. Bergantung kepada situasi. Ada kalanya, dia tidur. Ada masanya juga dia ke sekolah kerana ada aktiviti. Tapi yang pasti, jika tiada apa-apa dia harus berada di rumah. Tidak seperti kanak-kanak lain yang bermain layang-layang, gasing, lumba basikal. Kalau ingkar, balasannya bernanahlah telinga. Namun perasaan ingin merasa seperti kanak-kanak lain tetap ada. Dia akan keluar senyap-senyap kalau mak tiada. Bermain seperti kanak-kanak lain. Tapi habuannya, pasti menunggu di rumah. Kongkong. Memang satu kongkongan dan kawalan. Dia terperangkap. Dia tidak punya zaman kanak-kanak. Tetapi, bila umurnya meningkat sedikit, dia mula keluar bermain dengan rakan-rakan sepermainan.

Lain pula ceritanya di waktu petang selepas Asar. Tidak kiralah ada aktiviti sekolah atau tidak, ada kerja lain atau tidak, bermain dengan rakan-rakan atau tidak, dia harus mengutip semua bekas yang dihantar dan mengambil untung jualan kuih hari-hari. Setiap petang menggunakan basikalnya. Basikal rosak, jalan kaki ke semua gerai yang ada. Hujan atau panas tidak menjadi halangan baginya. Sudah menjadi teman setiap hari. Habis mengutip, kerja seterusnya membeli bahan-bahan kuih muih untuk persediaan.

Malamnya, siapkan kerja sekolah. Ataupun belajar. Itu pasti suruhan abah atau mak. Kalau tidak mereka, abangnya akan memantau jikalau abang balik ke rumah dari asrama. Selesai, dia akan terus membantu orang tuanya membuat persediaan jualan esok harinya. Selesai seharian, jawapannya tidur. Esoknya akan berulang semula.

Ini yang dihadapi seorang kanak-kanak. Dia sudah melihat mak dan abahnya jatuh bangun. Gerai di hadapan rumah langsung tidak ada pelanggan. Ke sana sini mencari orang untuk membuat pinjaman. Sambil berdagang kuih, tetap gigih mencari kerja lain. Tukang cuci di kedai makan. Buruh kasar tapak binaan. Tangisan mak menjadi tatapan. Senyuman abah dalam kesakitan menjadi persoalan. Dia merasai semuanya. Jatuh dan bangun dia melihat kesemuanya dan dia merasainya. Kerana dialah yang menjadi telinga dan mata. Dari kecil dia bersama orang tuanya. Tidak dihantar ke sekolah berasrama walaupun hatinya memberontak ingin ke sekolah asrama. Semuanya gara-gara janji palsu pihak ketiga. Tidak menjalani kehidupan seperti remaja lain walaupun hatinya memberontak ingin bersama rakan-rakan lain. Tapi dia sedar akan tanggungjawabnya. Ianya bukan menjadi halangan untuk dia menjadi seorang manusia. Bahkan itulah menyebabkannya menjadi seorang manusia. Orang tuanya sedar dia harus keluar mencari impiannya sendiri. Sedikit demi sedikit dia keluar mencari jalannya walaupun banyak jalan yang ditempuh dia jatuh. Dia sesat, salah pilih jalan. Dia berpatah balik dan mula kembali. Dalam masa dia berjalan di lorong pilihannya, tanggungjawab rutin kehidupannya setiap hari tetap menjadi pilihan. Sehingga ingin berpisah dari rumah, dia mencari jawapan sebenar. Jawapan sebenar muncul, dia harus pergi mencari hidupnya. Dia pergi dalam keadaan dagangan orang tuanya seperti sudah boleh bernafas. Kini masanya dia buktikan kata-kata maknya dan abahnya.

"Walaupun kita orang susah, bukan anak orang kaya, kita boleh setanding jika kita ada ilmu. Mak sanggup buat apa saja demi melihat kamu semua 5 beradik berjaya dalam hidup. Biar mak tidak makan, asal anak-anak mak senyum."

"Pergi hujung dunia pun, solat jangan ditinggal. Doa minta petunjuk pada Allah."

Wan Haziq Fadhullah bin Wan Razali

Wednesday 5 November 2014

Apa?

APA HARUS AKU LAKUKAN?


Jika ditanya pada diriku, jalan mana yang aku ikuti? Pasti jawab aku, haluan kiri. Tapi aku tak menolak penerimaan haluan kanan. Aku menyokong haluan kiri dan aku mempunyai sebab aku tersendiri. Bukannya aku tidak menyokong pihak yang sepatutnya. Dan aku bukannya lalang. Aku ingin menjadi seorang 'pelawan' yang sentiasa berfikiran terbuka dan boleh menerima kalau itu untuk kebaikan. Bukannya terus menaikkan isu tanpa sebab. Bukannya terus melenting tentang sesuatu perkara tanpa berbincang. Aku terima cara haluan kanan dan mempraktikkannya tapi sokongan aku pada haluan kiri. Semakin lama aku terjebak, semakin aku rasa unsur luar terlibat. Aku keliru. Atau aku terlalu memikir.



Jangan pula Candang Hati ini akan menjadi pencetus kepada perbalahan. Ini hanya penerimaan aku pada jalan yang ada. Aku tidak menolak sesiapa. Aku menggunakan kedua-dua pemikiran dalam satu benda. Agak sukar untuk aku terangkan. Entahlah. Mungkin aku kurang memerhati. Mungkin aku kurang menganalisa. Aku masih belajar dan jangan lihat pada kesilapan aku. Tapi perbetulkan kesilapan aku. Kiranya aku ulangi, silakan melenting.



Aku tidak pernah menyesal dalam memilih untuk aktif dalam jalan ini. Aku bangga mereka tawarkan sesuatu yang aku inginkan selama ini. Tapi ada benda yang aku khuatirkan. Pertamanya, aku takut aku mengecewakan mereka. Keduanya, aku inginkan lebih dan bukan sekadar di tapak ini kerana aku tahu aku boleh lakukan yang lebih. Mungkin aku perlu sedar tahap aku dan mungkin aku yang terlalu terdesak inginkan sesuatu yang lebih daripada orang lain. Dengan kata lain, aku dengki. Itu kekhuatiran yang aku hadapi. Persoalannya, mereka nampak dan sedarkah kehadiran aku? Kenapa aku merasakan aku dipinggirkan? Atau itu hanya rasa?



Biarlah. Semakin lama aku fikir, semakin mendalam sedihnya. Yang aku perlu tahu, aku menjalankan tugas dan mebuatkan mereka senyum. Mereka menyediakan jalan untuk aku. Layakkah aku meminta lebih. Mungkin aku yang tidak tahu nikmat bersyukur. Terlalu banyak mungkin. Aku sendiri yang persoalkan. Nampak sangat aku berhadapan masalah dengan diri aku sendiri. Terlalu banyak berfikir. Kurang pasti dan kurang yakin dengan diri sendiri. Yang pasti tidak sedar bukan aku seorang sahaja yang hidup di dunia ini, bahkan ramai lagi yang hebat daripada aku. Aku kena sedar hakikat itu. Entahlah.


-Ajiq Joja-

Monday 30 June 2014

CANDANG HATI

Candang. Perkataan yang jarang diguna pakai. Maksudnya? Candang bermaksud berani. Berani pula umum. Boleh diistilahkan dalam pelbagai cara. Berani berkata-kata, berani bertindak, berani kerana benar. Candang juga boleh dimaksudkan dengan terlalu berani. Hati pula merupakan organ tubuh badan kita. Organ yang penting dalam kehidupan kita. Kenapa? Kerana hati merupakan 'pemandu' kepada kehidupan kita. Mulia hatinya, pekertilah akhlaknya. Busuk hatinya, buruklah kehidupannya. Dalam kehidupan seharian, sering kita mendengar perkataan hati. Berhati-hati, kecil hati, bulat hati, dan banyak lagi. Kenapa saya menggabungkan kedua-dua perkataan ini? Candang yang jarang kita guna, dan hati yang sering kita dengar. Saya menggabungkan dua perkataan ini untuk menunjukkan kelainan dalam perkara yang biasa saya lakukan. Sukar untuk saya terangkannya di sini.

Saya menggunakan entri Candang Hati untuk menginterpretasikan sesuatu yang ingin saya luahkan dalam hati saya menggunakan keberanian (candang) yang saya miliki. Sedikit ketakutan mungkin terselit, namun saya harapkan bicara saya mampu didengari oleh semua. Saya akan pastikan entri Candang Hati ini memaparkan perkara yang berdiri atas kebenaran dan bukannya memaparkan perkara angin yang tiada hala tujunya.