Candang. Perkataan yang jarang diguna pakai. Maksudnya? Candang bermaksud berani. Berani pula umum. Boleh diistilahkan dalam pelbagai cara. Berani berkata-kata, berani bertindak, berani kerana benar. Candang juga boleh dimaksudkan dengan terlalu berani. Hati pula merupakan organ tubuh badan kita. Organ yang penting dalam kehidupan kita. Kenapa? Kerana hati merupakan 'pemandu' kepada kehidupan kita. Mulia hatinya, pekertilah akhlaknya. Busuk hatinya, buruklah kehidupannya. Dalam kehidupan seharian, sering kita mendengar perkataan hati. Berhati-hati, kecil hati, bulat hati, dan banyak lagi. Kenapa saya menggabungkan kedua-dua perkataan ini? Candang yang jarang kita guna, dan hati yang sering kita dengar. Saya menggabungkan dua perkataan ini untuk menunjukkan kelainan dalam perkara yang biasa saya lakukan. Sukar untuk saya terangkannya di sini.
Saya menggunakan entri Candang Hati untuk menginterpretasikan sesuatu yang ingin saya luahkan dalam hati saya menggunakan keberanian (candang) yang saya miliki. Sedikit ketakutan mungkin terselit, namun saya harapkan bicara saya mampu didengari oleh semua. Saya akan pastikan entri Candang Hati ini memaparkan perkara yang berdiri atas kebenaran dan bukannya memaparkan perkara angin yang tiada hala tujunya.